Introduction

Firman Allah bermaksud,
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. (Surah Al-Baqarah ayat 286)

Wednesday 17 August 2011

Ya Allah, lindungilah kami...

Saban hari, berita demi berita dibaca... BBC News untuk berita di sekitar UK manakala Utusan, staronline dan malaysiakini untuk mengikuti perkembangan di Malaysia. Baru 2 minggu lepas, UK digemparkan dengan berita huru-hara atau riot di sana sini. Banyak bangunan di sekitar kawasan pinggiran London seperti Ealing dan Tottenham telah musnah terbakar dan cermin kedai pula telah dipecah-pecah.

Selang 2-3 hari selepas itu, riot terus menular ke bandar-bandar besar seperti Birmingham dan Manchester. Leicester juga tidak terlepas dari kejadian ini. 3 hingga 4 buah kedai di city centre telah dipecahkan cerminnya. Menurut polis, sebenarnya bukan semua kejadian pecah kedai ini berpunca dari riot di London, tetapi ianya adalah perlakuan budak-budak nakal yang mengambil kesempatan dari huru-hara di London yang sedang berlaku. Perompak-perompak juga banyak mengambil kesempatan atas apa yang sedang berlaku. Paling menyedihkan apabila saya membaca dan melihat berita seorang penuntut Malaysia di London menjadi mangsa kejadian samun dari sekumpulan penyamun lelaki yang tidak berperikemanusiaan. Setelah dicederakan mangsa tersebut, dicuri pula barang-barang beliau. Inilah realiti moral dan sikap anak-anak muda sekarang... di dalam sebuah kota dan negara maju.

Kejadian-kejadian jenayah seperti rompakan, samun, kecurian dan penculikan sememangnya tidak pernah lekang dari isu-isu yang diwartakan di dalam berita. Baik di dalam atau luar negara.

Suatu perkara yang turut membimbangkan ialah peningkatan kadar rompakan dengan teknik penyimbahan asid ke muka mangsa. Di dalam kejadian di Malaysia baru-baru ini, mangsa melaporkan bahawa beliau telah diisyaratkan oleh sebuah kereta tentang tayar pancit. Dan apabila beliau keluar dari kereta, perompak-perompak tersebut terus meyimbah asid kearahnya lalu terus menyamun beliau. Mereka ingin merompak kereta dan juga komputer riba.

Memikirkan akan kejadian-kejadian seperti ini, dunia dirasakan tidak selamat. Sesetengah negara Allah uji dengan kejadian gempa bumi, ribut, tsunami dan banjir besar. Sesetengah negara lain pula Allah uji dengan peperangan, kemiskinan rakyat dan wabak penyakit. Sesetengah negara Allah uji dengan keegoan, kemewahan, kemajuan dan kekuatan. Di manakah tempat yang paling selamat?

Walauapapun, InsyaAllah... moga Allah akan melindungi kita semua dari kejadian-kejadian yang tidak diingini.
Kita seharusnya terus berdoa agar kita, ibu, bapa, isteri, suami, anak-anak, seluruh ahli keluarga, sahabat-sahabat dan semua kaum muslimin dam muslimat sentiasa mendapat perlindugan keselamatan dari-Nya.

Do'a Mohon Keselamatan

Artinya: "Ya Tuhan, janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah bagi kaum yang zalim, dan selamatkanlah kami dengan curahan rahmat-Mu dari tipu daya orang-orang yang kafir." (Qs. Yunus: 85-86).

Do'a Mohon Perlindungan

Artinya: "Ya Tuhanku, sungguh aku berlindung kepada-Mu dari memohon sesuatu yang aku tidak mengetahui hakikatnya. Dan sekiranya Engkau tidak memberi keampunan serta tidak menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku akan termasuk golongan orang-orang yang rugi." (QS. Hud: 47).

Do'a Mohon Tempat yang Baik

Artinya: "Ya Tuhanku, masukkanlah aku secara masuk yang benar, dan keluarkanlah pula aku secara keluar yang benar. Dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan (pemimpin) yang menolong." (Al-Isr': 80).

Bacaan Doa Mohon Kebaikan Agama, Dunia, dan Akhirat

“Allaahumma aslih lii diinii allazii huwa ‘ismatu amrii wa aslih lii dunyaaya allatii fiihaa ma’aasyii, wa aslih li aakhiratii allatii fiihaa ma’aadii. Waj’alil hayaata ziyaadatan lii fii kulli khairin, waj’alil muta raahatan lii min kulli syarrin.”

Arti Doa Mohon Kebaikan Agama, Dunia, dan Akhirat

“Ya Allah, perbaikilah agamaku yang menjadi pusat urusanku, perbaikilah duniaku yang menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah kehidupan ini sebagai tambahan bagiku dalam setiap kebaikan, dan jadikanlah kematian sebagai peristirahatanku dari setiap keburukan. (H.R. Muslim)”

Buat pembaca-pembaca sekelian, saya nasihatkan agar kita semua lebih berwaspada dan berjaga-jaga. Jika boleh, janganlah keluar bersendirian atau pergi ke tempat-tempat sunyi terutama di malam hari. Pastikan rumah dikunci sebelum tidur dan jangan ambil mudah soal keselamatan ini.
Apa yang paling utama, banyakkan berdoa. Saya di sini turut mendoakan agar Allah sentiasa melindungi kita semua dari sebarang bahaya. Ameenn..

Take care...