Introduction

Firman Allah bermaksud,
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. (Surah Al-Baqarah ayat 286)

Wednesday 19 January 2011

Solat Dhuha : Simbolik kepada terima kasih seorang hamba kepada Penciptanya

Alhamdulillah.. 2, 3 hari ini, sinaran matahari semakin selalu kelihatan.. Suhu pada waktu tenghahari pula boleh mencecah hingga 5 ke 6 darjah celcius. "Terima kasih Ya Allah", bersyukur... Allah telah berikan sedikit kepanasan selepas hampir sebulan lebih sejuk di bumi UK ini..

Melihat kepada cahaya pagi yang cukup murni ini, tetiba ingatan dibawa kepada amalan dan pesanan bonda setiap hari... Antara perkara yang sering bonda lakukan setiap waktu pagi ialah mengerjakan solat Dhuha...

"Banyak kelebihannya nak... Buatlah solat Dhuha setiap pagi.. kalau sempat 4 hingga 8 rakaat, kalau tidak, 2 rakaat pun memadai...", teringat kata-kata beliau.. yang seringkali mengingatkan dan berpesan kepada saya baik di zaman persekolahan hinggalah ke zaman sudah berumahtangga. Cukup cekal beliau mengingatkan...

Sememangnya solat dhuha ini banyak kelebihannya.. antaranya ialah agar Allah turunkan atau limpahkan rezeki kepada kita. Antara rezeki yang dinyatakan di blog-blog (berkaitan solat Dhuha) ialah rezeki anak, rezeki harta dan rezeki kejayaan... Ada yang menyatakan, antara resepi sesuatu kejayaan ialah dengan mengerjakan solat sunat ini. Ada juga yang menyatakan, jika ingin menimang cahaya mata, amalkan solat sunat ini, kerana anak pun merupakan rezeki juga. Walau bagaimanapun, NIAT UTAMA yang seharusnya kita tanamkan ialah bukan untuk memperoleh rezeki-rezeki di dunia ini sahaja.. TETAPI...atas tujuan untuk kita mendekatkan diri kepada Allah.. Ingat lagi dengan entry.. Innamal A'malu binniyat? Kerjakanlah sesuatu amalan itu atas niat kerana Allah.

Berikut saya sertakan informasi tentang solat Dhuha termasuk doa, cara melaksanakannya, waktu yang afdhal dan lain-lain. Sumber-sumber rujukan ada saya sertakan di akhir entry ini.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلَاثٍ بِصِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَيْ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَرْقُدَ

Drp Abu Hurairah, Sabda Nabi saw, "Telah berpesan kepadaku temanku (Rasulullah saw) tiga macam pesanan: Puasa 3 hari setiap bulan, sembahyang dhuha 2 rakaat dan sembahyang witir sebelum tidur"(riwayat Bukhari, Muslim dan Thabarani).

Niat Solat Dhuha

أصَلِّي سُنَّةَ الضُحَى رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ

"Sahaja aku mengerjakan sembahyang sunat dhuha dua rakaat kerana Allah Ta'ala"
Selesai solat, hendaklah baca tasbih ini sebanyak 10 kali

سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيُّ الْعَظِيمِ عَدَدَ خَلَقِ اللَّهِ وَبِدَوَامِ مُلُكِ اللهِ

"Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan yang lain melainkan Allah, Allah yang Maha Besar, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Besar, pujian sebanyak bilangan ciptaan Allah dan selama kekalnya Kekuasaan Allah"

Doa



“Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “. ” Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”

Cara melaksanakannya

Banyak bahan media cetak yang boleh dirujuk bagi mengetahui cara melakukan solat sunat Dhuha ini merangkumi bacaan-bacaan dalam solat hinggalah dalam sujud dan doa setelah selesai ibadat tersebut.

Cuma secara asas dan mudahnya berdasarkan hadis-hadis Nabi, solat sunat Dhuha ini dilakukan seperti solat-solat lain, cuma bacaan yang dianjurkan Baginda s.a.w. selepas al-Fatihah, menurut hadis yang disampaikan oleh Uqbah bin Amir, ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. (Riwayat al-Hakim)

Namun begitu, perkara (bacaan dalam solat) ini adalah sesuatu yang subjektif dan tidak statik. Maka tidak perlulah hanya terikat dengan kaifiat tertentu dan bacaan tertentu. Apa yang penting, solat tersebut diniatkan dengan betul, syarat-syaratnya dipenuhi dan rukun-rukunnya disempurnakan sebaik-baiknya.

Ruang waktu dan waktu afdal

Sesuailah dengan namanya dhuha yang bermaksud pagi. Jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab-kitab fikah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing yakni kira-kira dua meter. Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Jadi, secara mudahnya dapat difahami bahawa batas waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7 pagi hingga 1 petang.

Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya. Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).

Kelebihan

Setiap amalan kebajikan pasti memperoleh ganjaran setimpal daripada Allah s.w.t.. Pun begitu, ia mestilah dilengkapi dua syarat utama iaitu ikhlas dan menepati syariat.Setiap ibadat yang disyariatkan juga pasti tersirat hikmah dan fadilat yang tersendiri. Cuma usah pula hikmah dan fadilat ini yang diutamakan. Dibimbangi ia menjadi suatu tabiat di mana kita beramal lantaran hikmat semata-mata bukan lahir daripada rasa keinsafan diri.

“Namun demikian, terdapat nas-nas hadis nabawi yang menggesa umatnya melakukan amalan solat sunat Dhuha dengan disebutkan fadilatnya bagi menambahkan semangat dan keinginan untuk melakukan amalan mulia ini.

“Di antaranya hadis riwayat Abu Dzar bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: Setiap orang menjelang pagi, berdasarkan tulang temulang sendi memerlukan sedekah. Tiap-tiap tasbih itu sedekah, tiap-tiap tahmid sedekah, tiap-tiap tahlil adalah sedekah dan tiap-tiap takbir adalah sedekah. Menyeru makruf adalah sedekah, mencegah mungkar adalah sedekah. Semuanya itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha.

Selain itu, solat ini juga adalah tanda kesyukuran seorang hamba yang dikurniakan lengkap sendi tulangnya sebanyak 360 batang pada setiap pagi yang dilaluinya. Justeru, dhuha atau pagi yang penuh nikmat Ilahi itu disyukuri dengan menyembah Allah, simbolik kepada terima kasih seorang hamba kepada Penciptanya.

Rujukan:

http://www.tayibah.com/eIslam/solatsunat.htm
http://nursyirah.wordpress.com/2008/04/17/solat-dhuha-doa-dan-cara-melaksanakan/
http://blogs.udm.edu.my/drkuzaki/2008/01/20/kelebihan-solat-dhuha/

Friday 7 January 2011

Cabaran buat seorang penulis wanita : Kisah & Iktibar

Pada 2 januari 2011, dalam pukul 10 malam... Channel 4, salah sebuah penyiar terkenal di UK, telah menayangkan sebuah drama tentang kisah seorang pengarang buku terkenal di Britain. Semasa saya kecil, banyak buku-buku beliau telah saya baca. Kakak dan abang-abang saya yang sebenarnya minat mengumpul koleksi buku karangan beliau, baik versi bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.

Kebanyakan buku karangan beliau adalah berunsur penyiasatan dan misteri dan khusus buat pembaca kanak-kanak. Kalau pembaca sekelian pernah membaca buku siri penyiasatan kisah 'Lima sekawan', inilah kisah pengarangnya yang akan saya ceritakan di dalam enty kali ini.

Pada mulanya saya menyangka beliau adalah lelaki.. tetapi sebenarnya beliau adalah wanita dan ibu kepada dua orang anak perempuan. Apa yang mengkagumkan tentang pengarang wanita ini ialah beliau mampu mengarang sehingga 10000 perkataan dalam sehari. Pada umur 40 tahun, beliau telah berjaya menulis dan menerbitkan 600 judul buku dan telah diterjemah ke 70 jenis bahasa. Seterusnya, pada tahun 1980-an, 60 million buku beliau telah dijual. Amat mengkagumkan. Tidak terbanding dengan diri ini yang entah berapa puluh atau ratus ayat sahaja yang dapat saya tulis dalam sehari.

Apa yang dapat saya lihat ada dalam diri beliau ialah sifat 'passion' dalam dunia penulisan. Hanya dengan sebuah type writer, beliau mencurahkan idea demi idea, tulisan demi tulisan. Hinggakan tangisan anak pun beliau tidak hiraukan. Suasana bising dan perkara-perkara yang menganggu beliau untuk berkarya akan cuba beliau ketepikan. Yang beliau mahu ialah suasana tenang dan damai yang membolehkan untuk beliau cari dan mecari idea dan menghasilkan buku demi buku...kejayaan demi kejayaan..

Disebalik kejayaan beliau menempa nama dipersada penulisan buku ini, yang sememangnya amat membanggakan, sebenarnya banyak perkara yang beliau telah abaikan, terutama suami dan anak-anak. Makan minum anak dan suami dijaga oleh pembantu rumah dan midwife. Anak-anak telah dihantar ke sekolah asrama seawal umur 7 tahun kerana jika mereka berada di rumah, akan menganggu beliau untuk berkarya. Dan yang paling kritikal ialah rumahtangga beliau turut terjejas. Dan seterusnya beliau telah berkahwin dengan lelaki lain yang pada beliau lebih memahami.

Kisah di atas adalah ringkasan dari drama kisah seorang penulis certa penyiasatan kanak-kanak yang terkenal, Enid Blyton. Makluman lanjut tentang beliau boleh didapati di sini.

Apakah pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah penulis wanita ini? Kalau pembaca-pembaca sekelian berkesempatan, saya cadangkan cuba tonton atau baca kisah beliau ini.

Saya sedang berada dalam dunia penulisan.. proses menulis tesis PhD.. Apa yang kurang atau tidak ada dalam diri saya ketika ini ialah 'passion' dalam menulis tesis ini sebagaimana yang ada dalam diri Enid sewaktu beliau mengarang dan menulis. Memang benar, jika ada apa yang kita panggil 'momentum' untuk menulis, penulisan kita akan jadi cepat dan idea pula akan datang mencurah-curah.

Apakah kesudahan kisah hidup Enid ini? Di penghujung kehidupan beliau, beliau menghidapi suatu penyakit yang dipanggil 'Alzheimers Disease'. Beliau menjadi seorang yang pelupa, mudah keliru dan kurang yakin. Dan beliau telah menghembukan nafas terakhir pada 28 November 1968.

Walaubagaimanapun, kisah beliau banyak memberikan tauladan secara tersurat dan tersirat buat kita semua. Dunia ini hanyalah persinggahan buat kita semua. Sebagaimana entry sebelum ini tentang NIAT sebenar kita hidup di dunia ini, yang mana tidak boleh meletakkan dunia sebagai faktor utama. Tetapi akhirat jua tempat yang kekal abadi... Kejayaan yang ditempa dalam hidup ini hanyalah sementara.. dan ianya merupakan ujian Allah buat kita... Anak-anak dan suami juga merupakan salah satu ujian buat kita yang tidak boleh kita abaikan. Kelak kita akan ditanya oleh Allah tentang tanggungjawab kita kepada mereka. Dalam pada masa yang sama, amanah dan tanggungjawab kita sebagai pelajar dan pekerja turut tidak boleh diabaikan...
Semua perlu dilaksanakan dengan penuh ikhlas dan rasa bertanggungjawab.

Dan yang paling UTAMA ialah melaksanakan tanggungjawab TERBESAR kita kepada Allah dan Rasullullah... Mengerjakan segala suruhanNya yang tercatat di dalam Al-Quran dan Hadith. Ya Allah, jadikan diriku dalam golongan hamba-hambaMu yang bertaqwa dan sentiasa mengingatiMu... Ameen...