Introduction

Firman Allah bermaksud,
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. (Surah Al-Baqarah ayat 286)

Tuesday 31 August 2010

Cabaran Kemerdekaan Malaysia ke-53...

Entry saya sebelum ini adalah berkaitan dengan pencarian malam Lailatul Qadar...
Suatu pencarian misteri yang tiada siapa pun tahu bilakah malam Lailatu Qadar akan menjelma?

Tarikh 31 Ogos 2010 kali ini bersamaan dengan 21 Ramadan 1431 Hijri.

Tema merdeka kali ini sepatutnya disulamkan dengan kemerdekaan diri dari semua belenggu dosa (yang zahir dan batin)...dengan memohon ampun kepada Allah pada 10 malam terakhir bulan Ramadan.

Pernah saya terbaca artikel-artikel berkaitan dengan kemerdekaan negara dan bagaimana seharusnya kita keluar dari minda 'dijajah'. Banyak kesedaran cuba disemai dalam jiwa rakyat, tetapi saya yakin masih ramai lagi yang masih belum berubah. Jadi, adakah kita sebenar-benarnya telah 'merdeka'? Sudah merdekakah kita dari gaya hidup bertunjangkan hiburan? Sudah merdekakah kita dari berpakaian berunsur kebaratan? Tepuk dada tanya Iman...



Masih banyak lagi tanggungjawab yang harus kita pikul demi memerdekakan negara kita. Kita masih belum merdeka sepenuhnya... Mengapa?

Merdeka yang sebenarnya ialah merdekakan diri kita dari sifat-sifat atau sikap-sikap yang dibenci Allah... Kita perlu jauhi segala apa bentuk perkara yang menjurus kepada kemurkaan Allah... Inilah erti merdeka yang seiring dengan mencari kerahmatan dan keberkatan bulan Ramadan.

Akhir sekali, buat pembaca sekelian, selamat Hari Merdeka yang ke 53...

Moga rakyat Malaysia akan dapat mencari dan menilai erti kemerdekaan yang sebenar...

Moga Allah sentiasa merahmati dan memberkati negara, pemimpin-pemimpin dan seluruh rakyat Malaysia.. Ameenn

Cabaran mencari Lailatul Qadar

سُوۡرَةُ القَدر



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ فِى لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ

وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ

لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٌ۬ مِّنۡ أَلۡفِ شَہۡرٍ۬

تَنَزَّلُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذۡنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمۡرٍ۬

سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, (1) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? (2) Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (3) Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); (4) Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! / (5)


Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Tafisiran lanjut surah ini boleh di dapati di link di bawah:

http://www.alquran-karim.com/alQadr.html

Hikmah dirahsiakan kehadirannya

Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu.

Di ambil dari petikan artikel
Lailatul Qadr: Malam misteri yang dirindui kedatangannya
Ustaz Zainudin Hashim


Semoga kita semua dapat diketemukan dengan malam Lailatul Qadar... dan semoga semua amalan kita diterima Allah dan doa-doa kita dimakbulkan Allah... Ameen...

Friday 27 August 2010

Ujian Allah: Bencana banjir di Pakistan

Dalam pada seluruh umat Islam mengerjakan Ibadah puasa dan makan juadah yang enak-enak sewaktu berbuka... Teringatkah kita dengan umat-umat Islam yang sedang kelaparan, kedahagaan, kesejukan dan kesakitan di Pakistan akibat banjir?

Maklumat lanjut berkenaan bencana ini boleh dilihat di link-link di bawah ini:
Pakistan flood
Pakistan floods: Damage and challenges

Kesan-kesan akibat banjir ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi dan kerosakan infrastruktur bandar tersebut, malahan penduduk-penduduk yang hampir 20 juta di kawasan tersebut terjejas dengan masalah kesihatan dan bekalan makanan.

Wajarkah kita sebagai saudara terdekat (seagama) hanya memerhati penderitaan mereka dan hanya mengikuti perkembangan mereka di Pakistan tanpa menghulurkan bantuan? Mungkin, kita tidak dapat merasakan penderitaan sebenar mereka kecuali jika kita berada di tempat mereka.
Source

Ini merupakan ujian Allah buat mereka yang sebenarnya harus dijadikan iktibar buat seluruh hamba-hambaNya di muka bumi ini.

Saya memanjat kesyukuran ke hadrat Allah kerana diberi peluang mendapat ramai rakan-rakan sepengajian dari Pakistan. Hampir 60 peratus, rakan-rakan di Lab saya berasal dari negara tersebut. Apabila berlakunya bencana seperti ini, sedikit sebanyak kami turut merasakan kesedihan mereka. Kami di sini sudah macam keluarga... Ikatan Islam lebih mengeratkan lagi hubungan persaudaraan kami. Bak kata pepatah, cubit paha kiri, paha kanan terasa sakitnya. Menurut rakan-rakan saya, masih ramai mangsa-mangsa banjir ini homeless dan putus bekalan makanan. Moga Allah berikan kekuatan kepada mereka untuk menghadapi ujian ini...

Dari itu, kita perlu membantu apa yang kita terdaya... hulurkanlah bantuan semampunya dan sekurang-kurangnya doakan agar keadaan cepat pulih seperti sedia kala.

Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami dan selamatkan semua umat Islam di Pakistan. Surutkan banjir mereka dan berikan kesihatan yang baik buat mereka. Berikanlah kesabaran di hati mereka dalam menghadapi ujianMu ini Ya Allah...

Moga jalinan kasih sayang persaudaraan antara kami sentiasa subur dan diberkati oleh Mu Ya Allah...

Ameen Ya Rabbal Alameen...

Tuesday 17 August 2010

Cabaran seorang muslim (2)

Tajuk ini merupakan siri ke-2 mengenai cabaran seorang penganut agama Islam. Saya terpanggil untuk menulis berkenaan hal ini kerana terlalu banyak perintah-perintah Allah di dalam Al-Quran yang dikhususkan kepada orang Islam.

Sememangnya tanggungjawab kita dalam kehidupan memang terlalu banyak. Antaranya tanggugjawab sebagai suami, isteri, anak, pelajar, ibu, bapa, CEO, pegawai, guru, polis, pemimpin, jurutera, menteri dan lain-lain lagi. Manusia memang tidak dapat lari dari tanggungjawab. Namun kita sering lupa akan tanggungjawab kita yang utama, iaitu tanggungjawab sebagai seorang muslim.

Tanggungjawab seorang muslim

Di dalam Surah Al-E-Imran, Allah menjelaskan dengan firmannya yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. (102)

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya. (103)

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Surah Al-E-Imran 104)

Ganjaran seseorang yang beriman dan balasan seseorang yang kufur

(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa Neraka disebabkan kekufuran kamu itu. (Surah Al-E-Imran 106)

Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya. (Surah Al-E-Imran 107)

Ujian buat mukmin dan mukminat

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). (Surah Al-E-Imran 14)

Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: Banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu jika kamu bersabar dan bertakwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). (Surah Al-E-Imran 186)

Monday 16 August 2010

Doa-doa pilihan mengatasi cabaran, ujian dan dugaan hidup

Surah Al-Baqarah ayat 284-286, bermaksud;

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (284)

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah dan Malaikat-malaikatNya dan Kitab-kitabNya dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata:) Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami dan kepadaMu jualah tempat kembali. (285)

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. (286)


Surah Al-E-Imran ayat 8, 16, 38 dan 200 yang bermaksud,

Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. (8)

Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab Neraka. (16)


Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). (200)

Doa moga dikurniakan zuriat dan zuriat soleh/solehah

Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan. (38)

Friday 13 August 2010

Cabaran berpuasa


Alhamdulillah...

Ramadhan datang mengunjungi kita kembali.. Dan kita masih lagi bernafas di bumi Allah ini. Selagi kita bernafas, selagi kudrat kita mengizinkan kita berpuasa, maka wajib bagi kita berpuasa. Setiap kali datangnya bulan yang penuh barakah ini, hati pasti rasa gembira dan syukur. Bersyukur kerana dapat mengerjakan ibadah puasa, terawikh dan tahajjud... Ibadah sunat yang tidak berkesampatan dilakukan di bulan-bulan lain kecuali bulan Ramadhan. Istimewannya bulan ini... Ahlan Ramadann...

Semalam, semasa mengerjakan terawikh di malam 1 Ramadan, hati rasa begitu sayu... terutama apabila Imam membaca surah Al-Baqarah, bermula dengan Alif.. Lam.. Mimm..
Bulan ini bulan di mana turunnya Al-Quran, mukjizat teragung Nabi Muhammad saw.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud,

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.

Dan Allah berfirman pada ayat 253 yang bermaksud:
Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan dan Kami berikan Nabi Isa Ibni Mariam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Rohulqudus (Jibril) dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbullah di antara mereka: Orang yang beriman dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya

Ayat ini menerangkan bahawa Allah telah memberikan Nabi Muhammad saw kelebihan terutamanya mukjizat terbesar baginda, Al_Quran nur Karim.



Cabaran menahan nafsu

Dalam saya melayari blog-blog ustaz dan ustazah yang sering saya jadikan medium santapan rohani, terdapat penerangan berkenaan salah satu cabaran berpuasa, iaitu cabaran menahan nafsu bagi seorang suami atau isteri. Untuk pasangan suami isteri, mereka diharamkan bersetubuh di waktu siang hari di dalam bulan Ramadhan. Jika terlanjur, perlu membayar fidyah. Oleh itu, kesabaran menahan nafsu antara salah satu ujian Allah ke atas hambaNya.

Dalam hal ini, Allah telah berfirman yang maksudnya,

Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib) dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertakwa.

Cabaran melatih anak berpuasa

Tahun ini, anak sulung saya berumur 5 tahun. Bulan Ramadhan ini, genap usianya 5 tahun 5 bulan. Adakah ianya masa yang sesuai untuk melatihnya berpuasa?

Melihat pengalaman rakan-rakan, ada yang telah memulakan latihan berpuasa untuk anak-anak mereka seawal 5 tahun. Manakala, ada di antara mereka yang mula agak lewat.
Mengikut pengalaman saya pula, agak lewat memulakan latihan berpuasa dan dapat berpuasa penuh ketika usia 11 tahun. Tetapi, berdasarkan pemerhatian saya kepada cara didikan abang-abang dan kakak-kakak saya, anak-anak mereka telah dapat berpuasa penuh pada usia 7 hingga 8 tahun.

Cara latihan yang saya berikan kepada anak saya bermula dari puasa pada jam 11 pagi hingga ke waktu berbuka puasa 8.40 malam (musim Summer di UK tahun 2010, tempoh berpuasa agak lama). Alhamdulillah, beliau berjaya setelah dekat 10 kali meminta izin untu makan kek coklat. Saya hanya berkata kepada beliau supaya bersabar dan kita akan bebuka pada mahgrib nanti yang tidak sampai 2 jam lagi dan beliau boleh makan 2 potong kek coklat kegemarannya. Sebenarnya, ujian berpuasa beliau bertambah dengan godaan melihat adik beliau (yang berusia 3 tahun lebih) memakan kek coklat tersebut dihadapannya. Saya tidak melarang si adik, dengan niat supaya si kakak lebih sabar. Walaupun beberapa kali menitiskan air mata, namun beliau berjaya bersabar... Alhamdulillah... Moga Allah akan membantu saya dalam mendidik anak-anak saya mengerjakan Ibadah puasa yang sempurna...Ameen..

Buat pembaca sekelian, kesabaran adalah kunci utama kepada cabaran-cabaran yang dinyatakan sebelum ini. Sememanngya ada banyak lagi cabaran-cabaran lain yang tidak saya sentuh di sini seperti cabaran menahan diri dari melakukan maksiat, mengumpat, membazir dan perkara-perkara lain lagi yang menyumbang kepada dosa-dosa kecil dan besar.
Perbanyakan membuat amalan-amalan sunat, bersedekah dan bertadarrus. InsyaAllah, ibadah puasa kita akan diberkati Allah...

Selamat berpuasa...